NOTE: This article first appeared in Agenda Daily (Agendadaily.com)

 

 

“Demokrasi tidak akan jatuh dari langit, seakan barakah dari Allah”:

Temuramah dengan Syafiq Hasyim, Kyai Muda Generasi Baru NU. (Bahagian II)

 

Oleh Farish A. Noor

 

 

Keadaan di Indonesia semakin hari semakin gawat. Nampaknya era kepimpinan Gus

Dur menghampiri senja, tetapi apakah masa depan yang menanti negara jiran ini?

Dapatkah golongan aktivis, kyai dan cendiakiawan liberal dan progresif merombak

kembali sistem politik yang ternyata korup dan muflis itu? Atau akankah wacana

liberal mereka terbenam jua? Ahli akademik Farish A. Noor telah membangkitkan

persoalan ini apabila bertemu bual dengan seorang Kyai muda Nahdatul Ulama,

Syafiq Hasyim di kota Leiden di negeri Belanda.

 

 

Farish: ‘Kalau kita membuat perbandingan antara Indonesia dan Malaysia, jelas

sekali bahawa Ulama di Malaysia tidak ingin and tidak sanggup berdepan dengan

mana-mana pihak yang ingin membangkitkan isu-isu yang kontroversial seperti

hak-asasi wanita dan relasi-relasi kuasa. Bagaimanakah Syafiq dan organisasi

bukan-kerajaan (NGO) di Indonesia dapat menjemput kaum Ulama ini untuk

berdialog?’

 

Syafiq: ‘Pokoknya dialog itu suatu proses yang dua-hala. Sepertimana saya

sebutkan tadi, golongan Ulama itu memang tidak suka berdialog dengan mana-mana

pihak kerana mereka masih ingin mempertahankan kuasa dan kedudukan mereka.

Bukankah itu sifat tabi’ manusia? Kita semua tidak mahu menjejaskan kedudukan

kita dan mana-mana proses dialog itu ada implikasi dan konsekuensnya. Jadi

jikalau ingin berdialog, hendaklah kita sensitif kepada pendirian dan kedudukan

Ulama itu.

Bagi diri saya dan NGO Rahima saya sendiri, kita cuba berdialog dengan Ulama

dengan menggunakan discourse mereka sendiri. Dialog kita tidak berasaskan

mana-mana discourse yang dianggap radikal oleh Ulama. Malah, kita berbincang

tentang semua hal-hal yang sensitif dengan menggunakan buku-buku yang telah

digunakan oleh Ulama itu sendiri. Kitab-kitab kuning itu digunakan sebagai

sumber maklumat dan ilmu yang penting dalam semua kasus dialog yang diadakan.

Kita juga berpegang kepada kitab Quran dan hadith-hadith Rasulullah itu sendiri.

Kita yakin bahawa Islam itu ada dimensi yang lainnya, iaitu dimensi demokratik

dan rasionalisnya yang tersendiri. Jadi kita bermula dari situ- Quran dan hadis

dijadikan titik tolak bagi segala proses reformasi mental yang kita mahu mulakan

dari dalam.’

 

Farish: ‘Keadaan di Indonesia sangat berbeza dengan keadaan di Malaysia, dimana

minda dan wacana Ulamanya tidak langsung terbuka, walaupun telah berlaku banyak

perubahan dan perkembangan sosial.’

 

Syafiq: ‘Saya sendiri tidak faham mengapa keadaan di Malaysia sebegitu. Di

Indonesia, Ulama telah memainkan peranan yang penting dalam perkembangan

sejarah. Malah dari zaman kolonialisme sendiri, Ulama telah mendahului

masyarakat umum dari segi fikiran dan wacana mereka. Ulama telah memulakan

berbagai gerakan politik dan anti-kolonialisme, tetapi hingga ke hari ini

golongan Ulama tidak berkuasa seperti di Malaysia.

Di Indonesia Ulama dianggap orang berilmu dan berpengetahuan. Input dan pendapat

mereka itu penting, dan mereka selalu dianggap sumber maklumat yang perlu

dirujuk. Tetapi tidak ada parti atau gerakan Islam yang telah mendewakan Ulama

itu. Parti Muhamadijjah juga tidak pernah memberi status atau kedudukan yang

istimewa kepada Ulama. Kalau dibandingkan dengan Indonesia, Ulama di Malaysia

diberi kedudukan yang lebih tinggi, seakan Ulama di Iran!’

 

Farish: ‘Perbezaan itu memang ada, tetapi kalau dikaji dari dekat, nampaknya

keadaan di Indonesia semakin serius. Sekarang ini Abdurahman Wahid (Gus Dur)

nampaknya dalam keadaan yang parah. Partinya (Nahdatul Ulama) telah hilang

sokongan dari parti-parti yang lain dan cuaca politik di Indonesia semakin

panas. Apakah ini meramalkan kejatuhan Gus Dur tidak lama lagi? Dan adakah ini

akan menjejaskan gerakan progresif di Indonesia?’

 

Syafiq: ‘Ya, keadaan di Indonesia rumit dan parah sekali. Gus Dur telah hilang

segala dokongan dari parti dan gerakan Islam yang lain kerana dia dianggap

terlalu liberal dan bersifat terbuka. Kompromi yang dibuatnya itu dianggap

terlaluan dan parti-parti Islam di Indonesia sangat kecewa dengan pendiriannya

terhadap kasus Aceh dan Maluku yang masih tidak selesai itu. Juga kompromi yang

dibuat dengan pihak-pihak antarabangsa, terutama IMF, telah melemahkan

kedudukannya lagi.

Tetapi kita perlu ingat bahawa kompromi itu perlu dalam politik dan tempa

kompromi pemimpin akan menghadapi masalah. Gus Dur menghadapi tentangan dari

semua pihak- Pihak militer mahu kembali berkuasa, pihak demokrat (PDI) ingin

kerajaan yang diterajui Gus Dur dijatuhkan, dll. Apabila Gus Dur dilantik

presiden, wacana politiknya berkembang luas, tetapi perkembangan ini tidak

seiras dengan wacana politik rakyat itu sendiri. Rakyat masih miskin, mahasiswa

masih menuntut perubahan.’

 

Farish: ‘Apakah yang mungkin berlaku jikalau Gus Dur dijatuhkan di Indonesia?

Adakah masa depan golongan Islamis progresif akan terjejas juga?’

 

Syafiq: ‘Tentu sahaja kedudukan golongan progresif akan terjejas. Apabila

jatuhnya Presiden Suharto, wujudnya parti-parti Islam yang baru seperti Parti

Bulan Bintang, Parti Amanah Rakyat, dan sebagainya. Tetapi pada masa yang sama

wujud juga gerakan Islamis yang lebih ekstrem seperti gerakan Pembela Islam,

gerakan Lashkar Jihad. Gerakan ekstrem begini memang menentang mana-mana proses

dialog dan kompromi seperti mana diadakan oleh Gus Dur. Tujuan mereka sama

sahaja- mereka ingin Indonesia dijadikan suatu negara Islam yang orthodoks,

fundamentalis dan mengikut model yang ditetapkan oleh negeri Arab atau

Afghanistan. Di Maluku, gerakan Lashkar Jihad telah cuba mengambil kuasa secara

keras. Mereka juga menentang kerajaan Gus Dur secara terbuka.

Sebaliknya telah wujud gerakan-gerakan sekular yang memang anti-agama dan

anti-Islam khususnya. Mereka ini memberi dokongan kepada PDI yang dipimpin

Megawati Sukarnoputeri dan mereka tidak tahu bagaimana berdialog dengan pemimpin

gerakan Islam. Jadi Indonesia sekarang dibelah dua, antara dua haluan extrem

kanan dan kiri, yang bersifat fundamentalis orthodoks dan yang bersifat sekular.

Hanya Gus Dur yang telah cuba berdialog dengan kedua-dua pihak, tetapi tampa

sukses.

Yang kami khuatir ialah jika Gus Dur jatuh, siapa yang mungkin diangkat menjadi

Presiden yang baru? Megawati memang ada sokongan dan dokongan dari pihak-pihak

tertentu. Kaum kapitalis Cina, golongan sekular, pihak kapitalis Barat dan

pengikut setia Sukarno akan memberi beliau sokongan yang kuat. Tetapi Megawati

sendiri tidak pernah memerintah dan dia dianggap hanya pemimpin boneka- Siapakah

dalangnya yang sebenarnya? Inilah suatu persoalan yang tidak dapat dijawab oleh

sesiapapun.’

 

Farish: ‘Apakah yang mungkin berlaku jikalau Megawati mengambil kuasa? Dapatkah

dia bertahan sebagai pemimpin baru Indonesia?’

 

Syafiq: ‘Saya rasa tidak. Megawati sebenarnya dianggap bayangan bapanya, Bung

Karno (Sukarno) yang masih populer dikalangan masyarakat Indonesia, lebih lagi

di desa Jawa. Tetapi idealisme Sukarno itu sangat berbeza dengan ide-ide dan

wacana puterinya Megawati. Sukarno telah cuba memulakan suatu revolusi di

Indonesia, untuk merangsangkan proses pembangunan dan pembaharuan. Dia menentang

pihak Barat, golongan Kapitalis, golongan konservatif dan reaksioner. Tetapi

puterinya Megawati berkerjasama dengan golongan-golongan ini. Dewasa ini jelas

sekali bahawa dia mirip sekali dengan pihak-pihak Barat dan golongan atasan yang

kaya. Mereka memberinya arahan dan panduan untuk segala perkara dan segala

projek yang dilaksanakannya. Bukankah ini suatu perbezaan yang besar?

Lagipun ada berbagai lagi faktor yang akan melemahkan kedudukan Megawati.

Parti dan gerakan Islamis orthodoks dan konservatif akan menentangnya atas

alasan bahawa dia seorang wanita. Gerakan Lashkar Jihad, Pembela Islam dan

lainnya telah menyatakan bahawa Indonesia adalah suatu negara Islam dan negara

Islam itu tidak boleh dipimpin oleh seorang wanita. Jadi Megawati akan

menghadapi tentangan dari golongan Islamis ektrem yang memang misoginis dan

reaksioner.

Mungkin juga Megawati akan berkompromi dengan gerakan Islam begini- Beliau

mungkin berkerjasama dengan pihak-pihak konservatif untuk mengekalkan

kedudukannya, sepertimana yang dilakukan oleh Benazir Bhutto di Pakistan. Tetapi

itu juga suatu taktik yang merbahaya kerana gerakan ekstrem begini akan merampas

kuasa secara senyap dan mereka akan cuba menggunakan Megawati sebagai boneka

mereka sendiri.

Walau apapun yang berlaku, masa depan golongan Islamis liberal dan progresif di

Indonesia nampaknya gelap sekali.’

 

Farish: ‘Dan apakah akan berlaku kepada golongan cendiakiawan dan aktivis

Islamis yang liberal dan progresif itu?’

 

Syafiq: ‘Golongan Islamis yang liberal dan progresif tentu tidak akan diberi

peluang mengedepankan dan memperkembangkan wacana mereka itu. Ini adalah kerana

golongan sekular-kapitalis yang mendokong Megawati itu memang tidak cocok dengan

mana-mana cendiakiawan atau aktivis berhaluan Islamis- maupun yang progresif.

Juga golongan militer akan cuba mengenepikan pihak Islamis juga, kerana mereka

memang tidak cocok dengan Islamis juga.

Jadi apa yang mungkin berlaku ialah segala reformasi Islam yang telah dijalankan

itu akan tergendala atau dihentikan langsung. Pihak Islamis yang lebih radikal

dan fundamentalis akan menentang kerajaan boneka Megawati itu, dan kita akan

kembali kepada keadaan yang lama seperti zaman Suharto yang lampau. Islamis dan

sekular akan saling menentang dan keadaan politik di Indonesia akan menjadi

semakin tegang. Jika keadaan ini tidak berubah, maka segala projek yang telah

kita mulakan akan berhenti begitu sahaja dan proses perubahan mental itu tidak

dapat dijalankan dengan sempurna. Ini yang kita khuatiri, tetapi kebelakangan

ini keadaan tidak begitu positif.’

 

Farish: ‘Keadaan di Indonesia itu bukanlah unik. Malah, jika kita membuat

bandingan dengan negara-negara Islam yang lain di dunia ini, nampaknya

masyarakat Islam memang tidak dapat membuat perubahan atau transisi (transition)

dari suatu regim bersifat authoritas ke sistem demokratik dengan sempurna.’

 

Syafiq: ‘Ya, jelas sekali proses transisi ini ada masalahnya. Kita (umat Islam)

masih tidak dapat menyuaikan diri kita dengan budaya politik dan wacana

demokratis yang tulen. Kebanyakkan negara Islam di pimpin oleh pemimpin yang

bersifat authoritas dan regimnya selalu bersifat keras. Di negeri Arab,

Pakistan, Magrebi, Sudan, Afghanistan dan mana sahaja, umat Islam dipimpin

secara keras dan pemimpinnya berkuku besi. Jadi kita telah lupa budaya politik

Islam kita yang bersifat demokratis, terbuka dan progresif itu.

Tetapi bukan hanya pemimpin yang bersalah. Golongan Ulama, cendiakiawan dan

intelek juga terbabit dan mereka juga patut disalahkan.

Ulama bersalah kerana mereka telah diperalatkan oleh rejim yang berkuasa. Mereka

juga telah menghalang proses perubahan dan perkembangan sosial kerana pandangan

mereka yang konservatif dan reaksioner ini.

Cendiakiawan dan intelektual juga bersalah kerana mereka sering memberi sokongan

kepada pihak berkuasa yang hanya ingin mengekalkan status quo mereka. Apakah

mereka telah lupa tanggungjawab mereka kepada masyarakat?

Pokoknya, Islam itu demokratik dan progresif, tetapi umat Islam masih belum

dapat fahami apakah itu demokrasi dan progres. Perkembangan umat Islam terbantut

kerana kita sendiri telah lupakan mesej Islam itu sendiri. Kita masih tidak

faham bahawa demokrasi adalah suatu proses yang kompleks dan mengambil masa yang

lama. Kita mesit mendirikan institusi-institusi dan budaya politik sibil dahulu.

Demokrasi tidak akan jatuh dari langit, seakan barakah dari Allah. Ia mesti

dibina dibumi ini oleh manusia yang bersifat liberal, sibil dan progresif.

Tetapi umat Islam tidak dapat menuggu lagi. Di Indonesia keadaan ini jelas

sekali. Kaum miskin sudah kehilangan harapan dan tidak mahu menunggu lagi.

Mereka mahukan perubahan yang radikal, tidak kira apa yang berlaku. Malah mereka

telah mula menyebut: “Pada masa Suharto hidup itu lebih enak lagi”- ini bukti

bahawa mereka telah kehilangan harapan untuk masa depan. Inilah yang sangat

sedih sekali.’

 

 

Tamat.

 

Kyai Syafiq Hasyim adalah seorang Kyai (Ulama) muda yang juga aktif dalam

gerakan Nahdatul Ulama (NU) di Indoneisa. Sebagai seorang ahli gerakan Kyai

progresif baru, beliau telah melibatkan diri dalam arena politik, khususnya

dalam hal-hal berkaitan dengan hak asasi manusia dan hak-hak wanita. Beliau

telah menulis buku ‘Hak-Hak Yang Tak Terpikirkan: Tentang Isu-Isu Keperempunan

Dalam Islam’. Diterbit oleh Penerbit Mizan dan Rahima (NGO), Bandung, Indonesia.

2001.

 

Dr. Farish A. Noor adalah seorang akademik dan aktivis hak asasi manusia. Dia

pernah mengajar di Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya dan di Institut

Pengajian Islam, Freie Universitat, Berlin, Germany. Pada waktu ini dia sedang

menjalankan pengajian di International Institute for the Study of Islam in the

Modern World (ISIM), Leiden, Belanda. E-mail: korawa@hotmail.com